Dengan nama Allah yang menciptakan manusia itu secara berpasang-pasangan.
Selawat dan doa dipanjatkan buat Muhammad bin Abdullah insan yang kita sedang pelajari dan amalkan hadis-hadisnya.
Bergelar sebagai pelajar tahun akhir ini, ada 1 soalan yang sering kali diterjah pada saya.
Bila nak kahwin?
Kalau ada yang lamar itu , kahwin je lah. Tak payah tunggu sampai habis belajar.
Bercakap untuk berkahwin memang mudah tapi adakah diri sudah benar-benar bersedia untuk menjalankan tanggungjawab.
Untuk syabab , bersediakah untuk menjaga amanah yang Allah berikan? Untuk akhwat , bersediakah untuk menyenangkan hati suami? Memandangkan ramai sangat yang bertanya mengenai isu yang sentiasa panas zaman berzaman ini, dengan rendah hatinya ingin saya kongsikan sesuatu. Isu perkahwinan sentiasa mendapat tempat dalam list cerita-cerita untuk dibualkan oleh para pelajar. Tidak terkecuali lelaki mahupun wanita.
Teringatkan saya reaksi teman-teman yang pelbagai apabila isu ini dibincangkan. Memang fitrah insan normal begitu saya kira, semoga semua tidak leka dan sentiasa berhati-hati agar tidak termasuk ke kawasan larangan yang tidak sepatutnya.
Pembinaan masjid yang utuh pastinya menjadi idaman semua. Sekadar sedikit muhasabah untuk kita semua sebelum berangan-angan lebih jauh ke hadapan. Salah satu tujuan perkahwinan adalah untuk melahirkan zuriat-zuriat yang soleh dan musleh juga. InsyaAllah! Memperbanyak umat nabi yang benar-benar bertaqwa dan melahirkan lebih ramai individu muslim yang menerima tarbiyah islami sejak kecil lagi.
Jika kalian menyingkap kisah isteri Imran yang disebut di dalam Al-Quran, itulah contoh isteri dan ibu yang terbaik dari Al-Quran. Semangat isteri Imran yang disebutkan didalam Al-Quran itu wajar dijadikan idola, panduan dan ikutan semua wanita akhir zaman.
Berdasarkan ayat 35-36 surah al-imran.
"(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata "Ya tuhanku, sesungguhnya aku bernazar kepada-Mu, apa (janin) yang dalam kandunganku (kelak) menjadi hamba yang mengabdi kepadamu, maka terimalah nazar dariku. Sungguh engkaulah maha mendengar, maha mengetahui"
Maka ketika melahirkannya, dia berkata, "Ya tuhanku, aku telah melahirkan anak perempuan" Padahal Allah lebih tau apa yang dia lahirkan, dan laki-laki tidak sama dengan perempuan. "Dan aku memberinya nama Maryam, dan aku mohon perlindunganMu untuknya dan anak cucunya dari syaitan yang terkutuk"
Lihatlah bagaimana hebatnya isteri Imran, seorang wanita yang sangat suci sengaja diceritakan di dalam al-Quran telah bernazar kepada Allah untuk mengorbankan atau menginfaqkan anaknya yang masih dalam kandungannya di jalan Allah. Dia dengan tulus sucinya benar-benar menyerahkan masa hadapan anaknya supaya berjihad mengabdikan diri padaNya. Secara fitrahnya, pastilah ibu yang telah bersusah payah mengandungkan anaknya ke hulu hilir selama 9 bulan mengharapkan anaknya kelak berbakti kepada dirinya sekurang-kurangnya. Namun ibu Maryam ikhlas, beliau berniat melahirkan anak untuk dikorbankan sebagai seorang syahid di jalanNya. Benar-benar hebat dan suci, inilah semangat yang kita inginkan.
Dari isteri Imran lahirlah Maryam, antara wanita paling hebat dalam sejarah. Darinya pula lahirlah nabi Isa a.s, utusan Allah yang suci, seorang hamba yang mengabdikan diri kepada Allah semata2.
Kita mengharapkan anak yang soleh dan musleh hasil perkahwinan yang dibina. Persoalannya adakah kita sudah bersedia menjadi ibu seperti isteri Imran dan Maryam? Wahai teman-teman [untuk diri sendiri khasnya] sekiranya kau mengimpikan anak seperti imam syafie... ibunya perlu hebat lagi.....Dirimu perlulah dilengkapi dengan sekurang-kurangnya 30 juzuk Al-Quran didada. Apatah lagi ilmu-ilmu agama dan ilmu-ilmu tajwid untuk diajarkan kepada anak-anak nanti. Ibadah malam yang terjaga sebagai bekalan kekuatan dan hati yang penuh kasih sayang serta sifat sanggup berkorban.
Macamana ingin berkahwin kalau membaca Al-Quran masih merangkak-rangkak lagi?
Macamana ingin berkahwin kalau tak sanggup berkorban lagi?
Macamana ingin berkahwin kalau masih kurang menjaga ibadah lagi?
Bimbang tak mampu melahirkan anak-anak umat nabi Muhammad yang terbaik. Bimbang tak mampu melahirkan anak-anak yang berjihad mengabdikan diri di jalanNya.
"Ya Allah, kurniakanlah kami anak dan keturunan yang soleh sebagai penyejuk mata"
Pra Perkahwinan
Buat teman-teman, anggaplah kehidupan harian kita bersama teman-teman serumah kini sebagai pra-perkahwinan, latihan sebelum benar-benar memikul tanggungjawab yang asli.
Latih diri untuk sentiasa bermanis muka dengan teman-teman walau sepenat mana kita.
Latih diri untuk menjaga rahsia dan cerita teman-teman dan cuba menyelesaikan masalah sesama sendiri.
Latih diri untuk sanggup berkorban, banyak bersabar dan tidak banyak berkira sesama teman-teman.
Dan latihlah diri dengan macam-macam lagi.
Untuk syabab, sekiranya kalian telah benar-benar mampu dan bersedia, bernikahlah. Pilihlah jodoh yang terbaik yang diberikan Allah untuk kalian. Terima seadanya. Utamakan diri kalian dalam soal memilih jodoh yang terbaik.
Untuk akhwat sekalian, dan sekiranya telah sampai masanya , kalian dilamar, dan telah dibukakan laluannya untuk kalian bernikah, silalah bernikah. Allah sentiasa bersamamu.
Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita semua. Dan semoga teman-teman akan memperoleh teman untuk ke syurga yang terbaik untuk kalian.
"Dari Allah, Kepada Allah"
sumber:
http://www.iluvislam.com/